Thursday, August 6, 2009

JASAMU GURU...

MENGHARGAI DAN MENGENALI JASA SEORANG GURU?
Oleh:MOHD ZAMRI BIN JULI.

Bergelar seorang pendidik di zaman sekarang teramatlah mencabar.Berdepan dengan bebanan tugas dan dihimpit lagi dengan masalah anak didik semakin membuatkan seorang guru memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang kuat untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
Perlukah tugas dan peranan guru dipandang sebelah mata?.Hakikatnya kini masyarakat khususnya golongan pelajar sepatutnya lebih menghormati dan mengenali insan yang bergelar pendidik itu tanpa perlu memarahi dan berdendam hanya kerana hukuman yang diberikan.Kalau guru menghukum,satu dunia riuh dibuatnya.Tetapi apabila guru melahirkan insan cemerlang,dimanakah pujian?.Lucunya pujian melangit lebih diberikan kepada pelajar yang kononnya mencipta sejarah dalam peperiksaan.Tidak terfikirkah peranan seorang guru.Oleh itu hargailah jasa guru .
Guru memulakan segala langkah.Ada yang mengatakan,kalau hendak mencari ilmu biarlah sampai ke Tembok Cina.Namun kita lupa,tanpa didikan awal daripada guru dalam mengenal huruf A,B,C dan mengeja 1,2,3.Mana mungkin seorang manusia itu boleh sampai ke Tembok Cina.Ilmu daripada seorang guru itu akan tetap dibawa bersama walaupun nama guru itu sendiri sudah dilupai.
Ada yang mengatakan bahawa guru itu ibarat lilin.Namun pada masa kini adalah selayaknya kita mengibaratkan guru itu ibarat matahari.Ilmu yang diberikan oleh seseorang guru boleh dijadikan panduan untuk menempuh kehidupan yang semakin mencabar.Kata-kata guru seorang guru tidak sewajarnya dipandang ringan.Bagaikan pemancar kegelapan,segala ilmu yang diberikan boleh dijadikan panduan.Ada juga guru yang terlalu komited tetap mengambil berat dan tetap bersedia membimbing anak didiknya di luar masa persekolahan.Itulah yang perlu dibayar apabila bergelar sebagai seorang guru.
Kini semakin ramai para pelajar mahu mendekati dan berdampingan dengan guru.Guru kini berperanan sebagai rakan yang terbaik.Guru boleh dijadikan rakan yang mampu memahami kehendak dan masalah yang dihadapi oleh pelajar.Bersedia mendengar masalah dan membantu pelajar yang bermasalah terutamanya pelajar yang dihimpit masalah keluarga.Nasihat yang diberikan boleh membakar semangat pelajar yang dalam keadaan kecewa dan mampu mengembalikan semangat untuk menempuh cabaran.Malah ada beberapa guru yang sanggup membawa anak didik mereka untuk tinggal bersama mereka hanya kerana sikap prihatin guru terhadap anak didik.Terkejut?.Itulah antara rasa tanggungjawab dan prihatin guru yang jarang didedahkan untuk pengetahuan masyarakat sekeliling.
Guru bukan setakat mengajar.Segalanya dijalankan oleh seorang guru.Di sekolah,seorang guru tetap menjalankan tugas sebagai ibu dan bapa.Tetap menjaga kebajikan anak didik.Setia menyelitkan nilai kasih sayang dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Guru juga berperanan sebagai polis menjaga keselamatan.Ada masanya pula,guru berperanan sebagai doktor dan jururawat apabila anak didiknya mendapat kecederaan.

Guru tetap insan yang penyabar.Kalau di rumah,ibu bapa yang mempunyai anak seramai dua orang sudah pening memkirkan gelagat anak.Inikan pula seorang guru yang terpaksa berhadapan dengan berpuluhan gelagat pelajar yang terdiri daripada latarbelakang yang berbeza.Ada kalanya guru itu tetap marah apabila anak didik melawan kata dan membuat tugasan.Tetapi adakala guru tetap mempertahankan kesabaran dalam menangani masalah disiplin pelajar.
Atas alasan-alasan tersebut,perlukah tugas seorang guru diperlekehkan atau hanya dipandang sebelah mata.Adakah anda masih ingat jasa seorang insan yang pernah mengajar anda membaca dan mengira.Masihkah anda ingat nama insan itu?.Siapalah mereka di sudut hati anda setelah anda memegang jawatan yang tinggi.Walaupun tugas seorang guru semakin mencabar namun guru tetap tidak pernah mengharap balasan.Cukuplah andai melihat anak didik sudah berjaya dengan kehidupan masing-masing.
Setelah kita sedar tentang pentingnya tugas guru dalam membentuk kehidupan manusia,janganlah kita memperlekehkan dan menindakkan sumbangan guru terhadap kita.Hargai guru dan tempatkanlah guru di satu sudut yang cukup istimewa di hati kita.Kalau syurga itu terletak di kaki ibu.Cahaya penyuluh kehidupan tetap di tangan guru kita.Jangan disakiti hatinya , hormati dan hargailah guru yang pernah atau yang masih mendidik kita supaya ilmu yang diperolehi penuh keberkatan.

No comments:

Post a Comment