Monday, September 27, 2010

KASIHMU CIKGU ZAM...




Alhamdulilah...tiga minggu disiarkan sepanjang bulan Julai 2010 di UTUSAN SARAWAK..Terima kasih kepada yang sudi membaca...yang ketinggalan...jom baca d blog ini..Terima kasih atas sokongan...KASIHMU CIKGU ZAM adalah inspirasi n penghormatan buat seorang adik yg pernah dipanggil MUSA FIDZIAN...

SALAM MANIS...

ZAM……………,,semoga terhibur


KASIHMU CIKGU ZAM

KARYA: MOHD ZAMRI BIN JULI

Fidzian tersenyum seorang diri sambil matanya liar memerhati keadaan di sekeliling.Hatinya melonjak kegembiraan.Kini dia sudah pulang.Kembali menjejakkan kaki di negeri yang tercinta.Rasa bangga berputik dihatinya.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching diperhatinya leka.Fidzian cukup kagum melihat pemodenan yang berlaku secara mendadak di negeri kelahirannya.Fidzian tersenyum puas.Terlalu jauh bezanya dibandingkan 15 tahun lalu .Panorama ini membuat Fidzian begitu teruja.
MPV Estima kelabu memecut meninggalkan kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.Fidzian duduk bersandar di dalamnya.Matanya memandang ke arah luar.Merenung jauh .Riak diwajahnya cukup jelas menunjukkan dia memikirkan sesuatu.Ada kebimbingan bermain difikirannya.Sudah hampir 15 tahun dia menyimpan perasaan itu.Fidzian sedar.Dia sudah sekian lama terseksa diganggu perasaan itu.Terbayang di matanya. Raut wajah seorang insan yang terlalu ingin dijumpanya.Keindahan jalan-jalan yang dilaluinya seolah lenyap daripada pandangan.
“Pergilah… kejarlah cita-cita.Apabila awak sudah berjaya nanti,jumpalah saya di sini.Barulah saya bersedia untuk memaafkan awak”kata-kata itu bagaikan sudah sebati dalam hidupnya.Kata-kata yang menjadi pegangan dan memberi cabaran dalam untuknya.Pesanan itu tidak pernah dilupakan.Kata-kata itulah satu inspirasi sehingga Fidzian memberanikan diri untuk merantau jauh memperjuangkan nasib di tempat orang.
“Dimanakah aku dapat berjumpa dia?”Fidzian menarik nafas.Cukup dalam.Perasaan bersalah masih berbekam dihatinya.Fidzian bertekad untuk melepaskan semuanya.”Tapi..Bagaimanakah harus aku melepaskan semuanya?. Kalau aku sendiri masih tidak mengetahui tempat dia berada sekarang,”hati kecil Fidzian mengeluh.
“Saya berjanji saya akan berubah.Saya akan tinggalkan segala keburukan saya.Saya akan lebih memikirkan masa depan saya.Cikgu tidak perlu khuathir.Saya bertekad hendak menjadi insan berguna,”kata-katanya tersusun seperti yang dirancang. Seumpama seorang pelakon yang begitu lancar melafazkan dialog yang tercatat di dalam skrip.Begitu hebat sandiwara Fidzian.Dia begitu yakin dan pasti, cikgu itu akan termakan akan kata dan janjinya.Dalam hati Fidzian cukup bangga.Dia cukup puas bermain dengan sandiwaranya.
“Buat apa aku nak takut berjanji.Bukan perlu bayar apa-apa pun.Semuanya…. free of charge…”ketawa Fidzian dalam hati.Lelaki yang berbaju kemeja merah itu masih lagi duduk di hadapannya.Memerhati wajah Fidzian.Fidzian cuba mengawal gerak geri badannya.Fidzian masih lagi dengan sandiwaranya.Masih lagi memegang watak budak baik ciptaannya sendiri.Tingkahlakunya persis pelakon Syafiee Naswip ketika menjayakan wataknya dalam filem “Muksin”.Sesekali dia berdebar juga memandang Cikgu Zam yang masih lagi mendiamkan diri di hadapannya.

“Lantaklah…..hidup aku…… suka hati aku lah.Ada aku kesah?”sekali lagi Fidzian ketawa dalam hati.Dia cuba memberanikan diri untuk memandang Cikgu Zam.Dia teringat kata Yahya.Kalau orang menipu,dia tidak akan berani memandang orang yang berada di hadapannya.Fidzian cuba menegakkan benang yang basah melalu reaksinya.Dia terlalu yakin.Cikgu Zam percaya akan janji-janjinya.
“Fidzian,saya betul-betul berharap awak akan berubah.Awak perlu berjanji dari hati awak yang tulus ikhlas.Awak perlu fikirkan tentang masa hadapan awak.Cuba awak lihat kehidupan awak sekarang.Adakah awak mahu hidup sebegini selamanya?.Cikgu cukup mengenali ibu bapa awak.Tolonglah, jangan awak abaikan harapan mak bapa awak!.Lagipun awak anak sulung,awak akan memikul banyak tanggungjawab.Jangan terlalu khayal dengan perkara yang remeh temeh,”
“Saya berjanji ,cikgu.Saya akan berpegang teguh pada janji saya dan berpegang pada kata-kata cikgu sampai ke hujung hayat saya,”ujar Fidzian tegas sambil memandang wajah Cikgu Zam.Ada terbit senyuman di bibir cikgu itu.Baru lega rasa hatinya.”Wah,Pelanduk sudah masuk perangkap!”terbit senyum puas di hati Fidzian.
“Awak perlu ingat Fidzian.Biarlah apa jua pandangan orang terhadap awak.Cikgu tidak kisah.Cikgu tetap menyokong awak.Cikgu tahu siapa awak .Cikgu tetap mengambil berat tentang awak .Dalam diri awak ada potensi yang terlalu besar.Berubahlah dan kembalilah seperti awak yang dahulu.,”Cikgu Zam begitu tulus pada kata-katanya.Niatnya cukup ikhlas .Hatinya tergerak untuk mengambil berat tentang pelajar yang bernama Mursya Fidzian itu.Fidzian hanya terdiam.Kemudian menganggukkan kepalanya seolah mengiyakan kata-kata Cikgu Zam.
“Terima kasih,cikgu.Cikgu begitu mengambil berat tentang saya.Saya amat menghargai,”ujar Fidzian lembut walaupun jiwanya memberontak ketika itu.Dia perlu meneruskan sandiwara di hadapan Cikgu Zam.Dia mahu Cikgu Zam terus tertipu dengan sandiwaranya.
Fidzian kemudiannya melangkah keluar meninggalkan bilik kaunseling itu.Dia menoleh ke belakang.Cikgu Zam masih memerhati kemudian tunduk sambil mencatat sesuatu di atas kertas.
“Lantaklah… ,apa aku nak jadi, aku punya hal !.Sibuk sangat nak jaga tepi kain aku.Ahhh..aku nak jadi syaitan ker!..aku nak jadi iblis ker!…orang lain tidak perlu masuk campur.Apa orang lain nak sibuk?”bisik hati Fidzian .Langkahnya diatur laju menuju ke kelas.Dia berasa cukup puas.Dia berasa seronok dapat menyakinkan Cikgu Zam dengan lakonan hebatnya.
Suasana di kelas 5 Sastera 3 pada hari itu cukup tenang.Guru tiada berada di dalam kelas.Para pelajar sibuk mengulangkaji pelajaran.Masing-masing sudah mulai khuathir tentang Peperiksaan Percubaan SPM yang akan menjelang seminggu lagi.Di sudut belakang, Fidzian merebahkan kepalanya di atas meja.Di saat orang lain sibuk berbincang tentang pelajaran,dia pula sibuk melayan mimpi indahnya.
“Janganlah tidur kat dalam kelas…kau ni macam orang tengah layan je.”sapa Daus sambil menepuk-nepuk belakang Fidzian.Tidur dalam kelas sudah menjadi amalan Fidzian sejak kebelakangan ini.
“Jangan ganggu aku lah.Aku penat ,”Fidzian bersuara tanpa mengangkat wajahnya.
“Kau ni tak pernah serik.Kau masih ambil benda tu ye…….?”
“Aku sudah kata jangan ganggu aku lah.Aku tengah layan ni.Aku punya hal lah,”kali ini barulah Fidzian mengangkat wajahnya dan memandang ke arah Daus.Matanya kuyu dan berwarna merah.
“Aku baru dapat bekalan yang terbaik tau semalam.Baik punya…….,”
‘Buat apa kau layan benda itu.Nanti rosak masa depan kau.Aku lihat sejak kau berkawan dengan budak-budak motor di kelas sebelah tu,kau dah pandai buat perkara yang tidak elok.Sudah beberapa kali kau terkena tapi kau tetap buat lagi.Kau kata kau sudah berubah.Semalam, kau sudah berjanji dengan Cikgu Zam.Cikgu Zam terlalu gembira beritahu aku yang kau sudah bertekad untuk berubah.”
“Lantaklah..apa aku nak kisah.Aku buat… aku sendiri yang tanggung.Semua orang boleh berjanji.Tak perlu bayar apa-apa pun,”itulah prinsip yang menjadi pegangan Fidzian.
“Tak baiklah kau berbohong pada Cikgu Zam.Dia begitu baik pada kau.Kau tipu dia,”nasihat Daus untuk menyedarkan Fidzian.
“Suka hati aku lah.Disebabkan dia terlalu baik pada aku,itulah sebabnya aku senang menipu dia.Kalau dia marah lagi,nantilah aku berlakon menjadi budak baik depan dia.Dia nak sangat aku jadi budak baik.Aku boleh tunjukkan.Rosyam pun kalah kalau aku dah pegang watak budak baik.Bukannya susah..berjanji ker..?berbohong ker…?Tak perlu bayar apa-apa pun.Semuanya ditanggung percuma.Ini Fidzian lah!”ujar Fidzian bangga.Daus hanya mengeleng-gelengkan kepalanya.Hakikatnya dia cukup kasihan pada Fidzian.Fidzian sudah tidak seperti yang dikenalinya dulu.Daus segera kembali ke mejanya.Daus kemudiannya membelek-belek buku di atas meja.Lebih baik dia menambah ilmu daripada memikirkan tentang Fidzian.Cuma tadi dia ingin menjalankan tanggugjawabnya sebagai seorang kawan.
Loceng berbunyi menandakan waktu untuk balik.Fidzian segera berlari anak menuju ke tempat motorsikalnya.Kemudiannya dihidupnya enjin lantas dipecutnya motorsikal dengan laju untuk meninggalkan kawasan sekolah.Langsung tidak dihormatinya peraturan sekolah.
Tiba-Tiba dia memperlahankan motorsikalnya apabila terpandang MPV Proton Ezora berwarna kelabu di hadapannya.Riak wajahnya tiba-tiba berubah.Senyuman yang diukirkan oleh Cikgu Zam bagaikan satu sindiran untuknya.Fidzian baru perasan.Sejak dari kawasan tempat letak motorsikal tadi,Cikgu Zam sudah memerhatinya.
“Cikgu suka pada kesederhanaan sikap awak.Awak begitu berbeza jika dibandingkan dengan para pelajar lain di sekolah ini.Di saat orang lain sibuk bermotorsikal datang ke sekolah,awak tetap datang dengan mengayuh basikal.Awak dan basikal.Itulah keunikan pada awak yang membezakan awak dengan para pelajar lain di mata cikgu.Cikgu begitu kagum pada semangat awak.Awak sanggup mengayuh basikal berbatu-batu untuk datang ke sini.Biarlah orang dengan caranya,awak tetap dengan cara awak.Biarlah kita bersusah dulu,nanti kita akan rasa senang juga” pujian dan kata-kata yang diberikan oleh Cikgu Zam kepada Fidzian suatu ketika dahulu .
Segalanya sudah jauh berubah.Fidzian sudah tidak ada bezanya dengan para pelajar yang lain.Tidak ada keunikan lagi pada Fidzian.Kini ke hulu ke hilir, dia sibuk memecut motorsikalnya.Bantuan wang biasiswa yang sepatutnya digunakan untuk menampung pelajaran disalahgunakan untuk membeli dan mengubahsuai motosikal yang menjadi kebanggaannya.”Sepatutnya bantuan biasiswa digunakan untuk menampung pelajaran .Jangan disalahgunakan.Pemberian biasiswa dan bantuan yang diberikan seolah tidak mencapai matlamatnya.Seolah-olah membuatkan para pelajar semakin terleka.Cukup berbeza dengan pelajar dulu.Mereka tidak mendapat bantuan dan biasiswa.Namun mereka menghayati erti kesusahan.Mereka bersemangat untuk mengubah hidup.Tidak seperti pelajar sekarang.Baru bergelar pelajar namun sudah nampak mewah walau datang daripada latar belakang keluarga yang susah.”Fidzian mencebik bibir apabila teringat nasihat Cikgu Zam .
Di kamar, Fidzian terbaring seorang diri.Foto Ika ditatapnya berkali-kali.Dia cukup puas.Dia sudah memiliki cinta Ika ,gadis yang menjadi rebutan para pelajar di sekolahnya.Sebelum ini, dia lama meminati Ika namun Ika tidak pernah melayannya.Namun sejak dia memiliki motorsikal,Ika sudah mula memberi perhatian dan membalas cintanya.Malah bukan setakat Ika,ramai lagi pelajar perempuan yang ingin mendampinginya.Kini tujuannya untuk pergi ke sekolah bukan lagi untuk mencari ilmu tetapi untuk menyemai cintanya bersama Ika.Hujung jarinya memegang kotak yang sudah dibalut dengan kertas berwarna merah hati.Dia yakin Ika akan gembira menerimanya.Duit biasiswa yang baru diterimanya pagi tadi telah dihabiskannya untuk membeli hadiah itu.
Pagi itu seperti biasa,Fidzian awal lagi sudah memecut masuk ke kawasan sekolah dengan motorsikal kebanggaannya.Sebaik saja meletakkan motorsikalnya di tempat biasa,Fidzian segera menuju ke Blok C.Matanya segera liar mencari kelibat gadis kesayangannya.Dia hampa.Bayang gadis itu masih belum kelihatan.Dia sudah tidak sabar menyerahkan hadiah itu kepada Ika.
“Mungkin dia belum datang kot,”Fidzian cuba memujuk hatinya.
Fidzian mengambil keputusan untuk kembali ke kelasnya.Dalam perjalanan menuju ke Blok B,Fidzian kaget.Matanya terlihat sesuatu.Dilihatnya Ika sedang duduk berdua-duaan memadu asmara dengan seorang pelajar lelaki.Dia cukup kenal pelajar itu.Azrin ,geng moto nya sendiri.Fidzian segera meluru dan segera melepaskan buku lima ke arah pipi Azrin.Ika terkejut lantas menjerit-jerit bagaikan orang histeria.Azrin terus membalas tumbukan Fidzian.Suasana di situ menjdi riuh rendah.Fidzian bagaikan dirasuk syaitan.Barang-barang dalam begnya bertaburan.Beberapa orang pengawas dan guru datang untuk meleraikan suasana.
Di bilik Guru Besar ,Fidzian berdiri mengadap Cikgu Abang Hadera.Pengetua yang cukup terkenal dengan sikap tegasnya itu memandang tepat ke arah anak muda itu.Fidzian kemudiannya tertunduk.Azrin disebelah Fidzian telah dibenarkan masuk ke kelas kerana kesalahan lebih kepada Fidzian.
“Awak telah melakukan kesalahan besar.Selain bergaduh,pihak sekolah telah menjumpai pil-pil khayal dalam beg awak,”suara Cikgu Abang Hadera cukup tegas.Fidzian semakin gelisah.Ada titisan peluh membasahi wajahnya.
“Mana ada saya bawa pil-pil itu, cikgu,”ujar Fidzian seperti biasa untuk menegakkan benang basah.
“Semasa barang-barang dalam beg kamu bertaburan sewaku pergaduhan tadi,para pengawas telah menjumpai pil-pil ini .Selama ini ,saya sering menerima laporan daripada para pelajar dan guru-guru di sini tentang aktiviti kamu membekalkan pil-pil khayal kepada para pelajar.Baru hari ini, kami dapat jumpa buktinya,”kata-kata Cikgu Abang Hadera membuatkan Fidzian terus tertunduk.Dia sudah buntu untuk membela diri.Bukti sudah berada di depan mata.
“Awak mesti terima hukumannya.”
Fidzian terkedu apabila mendengar hukuman yang diterimanya.Langkahnya lemah meninggalkan bilik pengetua.Fikirannya cukup kosong.Dia terus berjalan tanpa memperdulikan orang-orang di sekelilingnya.Dia terlalu rungsing.
“Fidziannn…….”Fidzian segera menoleh.Dilihatnya Cikgu Zam memanggilnya.
“Cikgu tak perlu lagi sibuk pasal saya.Saya hendak mati ke?…Saya hendak buat apa ke?..cikgu tidak perlu masuk campur.Tolong…….., jangan sibuk pasal saya lagi!”jerit Fidzian.Lantas segera beredar dari situ.Cukup tinggi nada suara Fidzian.Daus dan para pelajar yang berada di situ tergamam melihat situsi sebegitu. Cikgu Zam menarik nafas panjang.Dia begitu terkejut.Langsung tidak disangkanya anak muda berkulit hitam manis itu sanggup bertindak sebegitu.Sebelum ini, dia cukup menghormati Fidzian.Sikap anak muda itu dahulunya penuh dengan kesederhanaan.Teringatnya anak muda itu sebelum ini saban pagi mengayuh basikal ke sekolah dengan senyuman yang tidak pernah lekang di pipi di setiap kali berselisih dengannya di tepi jalan.”Itulah kesannya kalau sudah tidak pandai membawa diri.Mudah sangat terpengaruh,”kesal Cikgu Zam dalam hati.
“Cikgu,banyaklah bersabar.”pinta Daus yang turut tergamam melihat sikap biadap Fidzian terus menghampiri Cikgu Zam yang kelihatannya masih terpinga-pinga dengan tindakan Fidzian.
“Cikgu yakin dia tetap kembali seperti sikapnya dulu,”Daus hanya menggangguk sahaja.Walaupun hatinya cukup yakin bahawa Fidzian tetap tidak akan berubah.Dia tahu,sejak memiliki motorsikal.Fidzian sudah bercampur dengan budak-budak nakal.Melepak di tepi jalan.Bawa perempuan ke hulu ke hilir dengan motorsikal kebanggaannya.Arak,dadah,ganja dan pil sudah sebati dalam hidup Fidzian.Malah keluarga Fidzian sendiri sudah tidak mampu untuk mengawal Fidzian.Hidup Fidzian seakan hancur dengan jalan hidup yang dipilihnya.
Pagi itu ,Fidzian tidak lagi pergi ke sekolah.Dia perlu akur pada hukuman yang diberikan padanya.Dia telah kehilangan Ika.Banyak perkara manis yang semakin hilang dalam hidupnya.Fidzian duduk termenung di hujung katil.Matanya kemudian memandang ke arah tin arak dan pil khayal yang terletak di sisi katilnya.Fidzian menarik nafas panjang.Ika yang memperkenalkannya kepada najis-najis itu.Ika telah memperalatkannya.Fidzian seakan tersentak dari dunia indahnya.Dia mulai sedar.Ika hanya mencintainya kerana motorsikal bukan dirinya.Dia diperbodohkan oleh Ika hanya untuk memenuhi keinginan gadis itu. Bagi Ika,Fidzian hanya diperlukan untuk memudahkannya bergerak ke sana sini.Gadis itu cukup liar sedangkan semua itu adalah sesuatu yang baru bagi Fidzian.Fidzian terkena kejutan budaya.Demi cinta pada Ika,Fidzian seolah sanggup diperbodohkan.Segala kehendak gadis itu diturutinya.Pernah Fidzian tidak balik rumah hanya kerana menemani Ika yang hidup bagaikan bohsia di tepi jalan.Dia mula kenal dan melepak dengan budak-budak motor yang sebelum ini cukup dibencinya.Daus,sahabat karibnya sendiri sudah dilupakannya. Fidzian mula menyentuh arak dan pil-pil khayal.Fidzian lupa pada pesanan ibubapa yang tidak suka dirinya melepak pada waktu malam.Paling dia tidak lupa,dia sanggup menipu Cikgu Zam demi kerana Ika.
“Kenapa awak tidak pergi ke ceramah motivasi semalam.Penat je cikgu tunggu.Cikgu percayakan awak.Percayakan potensi yang ada pada awak.Sebab itu Cikgu calonkan nama awak kepada pihak sekolah.Tapi awak menghampakan harapan cikgu,”ada kemarahan pada nada suara Cikgu Zam.Fidzian mengosok-gosok kepalanya.Cikgu Zam tahu Fidzian cuba mencari alasan untuk menipunya.Selama ini, Cikgu Zam sudah lama mengetahui sikap Fidzian yang suka bersandiwara di hadapannya Cuma dia masih berharap dan yakin,Fidzian akan tetap berubah.
“Saya ada masalah peribadi.Keluarga saya ada masalah,cikgu.Saya tidak mahu menceritakan masalah ini sebab saya tidak mahu cikgu terbeban dengan masalah keluarga saya.Cukuplah saya sendiri yang menanggungnya,”.Fidzian yakin Cikgu Zam akan bersimpati dengan alasannya dan segera memaafkannya.

“Jangan mudah hanyut dek rayuan perempuan.Awak masih muda.Awak perlu berusaha bersungguh-sungguh demi SPM nanti.Jangan sampai awak dipermainkan dan diperbodohkan oleh perempuan,”nasihat Cikgu Zam tiba-tiba kembali diingatinya.Semalam dia sendiri nampak Fidzian berdua-duaan dengan Ika di gerai burger pada pukul dua pagi.Siap lagi memakai baju melayu dan baju kurung.Bagai orang nak pergi jumpa Tok Kadi.
“Cikgu bukan bermaksud nak mencampuri urusan peribadi awak tapi cikgu lihat sejak awak rapat dengan Ika,awak sudah mula berubah.Cara penampilan awak sudah jauh berubah.Rambut pun dah tidak terurus.Awak sudah seperti budak samseng di tepi jalan.Awak sudah tidak berimej seperti seorang pelajar”
“Sekali lagi cikgu katakan,cikgu ikhlas untuk menolong awak.Datanglah berjumpa cikgu kalau awak perlukan bantuan cikgu,”Cikgu Zam tetap berusaha untuk memujuk Fidzian.Harapannya satu.Fidzian sedar akan kesilapannya.
“Nanti apa pula kata orang,cikgu.Tentu orang kata yang saya ni nak ambil kesempatan.Saya perlu juga fikirkan pandangan orang,”Fidzian lantas bersuara.Terlalu bijak Fidzian mengatur kata.
“Kalau hal macam tu,baru nak fikirkan pandangan orang.Tapi….. bawa perempuan naik moto ke hulu ke hilir ,melepak melalak di tepi jalan,berdua-dua sampai tengah malam,berkawan dengan budak-budak samseng,makan pil,hisap dadah,minum arak dan berjudi.Tidak pula nak fikir pandangan orang lain,”bicara Cikgu Zam dalam hati.Dia tersenyum kecil memandang Fidzian.Mungkin Fidzian tidak tahu yang dia sudah mengetahui hal tersebut.

Fidzian bersandar di kepala katil.Satu persatu peristiwa berlegar di kotak ingatannya.Hari itu,dia bersendirian di rumah.Keluarganya balik ke kampung.Kini keluarganya sendiri seakan memulaunya.Ibu bapanya sendiri sudah malas nak ambil tahu tentang dirinya lagi.Satu persatu peristiwa yang berlaku mengingatkannya kepada Cikgu Zam.Dia seakan sedar. Cikgu Zam sentiasa mengambil berat tentang dirinya.Cikgu Zam terlalu baik terhadapnya.Apa saja pandangan orang terhadapnya,Cikgu Zam tetap tidak memperdulikannya.Cikgu Zam tetap percaya padanya walaupun sudah beberapa kali dia menipu guru yang cukup bertanggungjawab itu.Fidzian tiba-tiba mengeluh.Mengapakah aku terlalu bodoh?.Terbayang dimatanya wajah Cikgu Zam semasa diherdiknya dua hari lepas.
Kini Cikgu Zam mungkin sudah membencinya.Cikgu Zam pasti tidak menghormati dan mengambilberat tentang dirinya lagi.Sepastinya Cikgu Zam tidak melayannya lagi seperti dulu malah pasti membuang namanya jauh-jauh dari kotak ingatan.Fidzian cukup yakin dan pasti.Fidzian akui,dia telah banyak menyakiti hati Cikgu Zam.Dia telah banyak menghancurkan kepercayaan Cikgu Zam.Dia telah banyak memperbodohkan diri dengan perkara yang remeh temeh.
“Baru dapat duit biasiswa kau sudah mula berlagak.Sudah mula lupa daratan.Kau sudah mula berasa yang diri kau terlalu hebat.Belum lagi kau berpangkat tinggi dan hidup mewah. Kau lah orang yang tidak tahu diuntung.Kau tidak menghargai kebaikan dan kepercayaan yang Cikgu Zam berikan pada kau.Di antara ratusan pelajar,dia memilih kau untuk didampingi.Dia bukan bermaksud untuk bersikap pilih kasih tetapi dia ingin membentuk dan membimbing kau sebab dia yakin,diri kau terlalu banyak potensi.Kau mudah meremehkan segala yang ada di hadapan mata kau.Tapi kau perlu ingat,kau pasti akan tercari-cari apabila ianya sudah tiada.Setiap manusia ada had kesabarannya.Jangan sampai kesabaran dan perasaan kasih sayang itu sudah hilang,” Daus bersuara dengan cukup marah.Itulah kata-kata terakhir Daus.Sejak itu, dia tidak berjumpa dengan Daus lagi.
Kedengaran pintu diketuk sesorang.Fidzian segera menuju ke ruang tamu.Fikirannya berserabut.Fidzian segera membuka pintu.Dia tergamam.Cikgu Zam berdiri dihadapannya.
Di ruang tamu,Fidzian duduk bertentangan dengan Cikgu Zam.Rasanya ,ingin segera dia memohon maaf dan melutut di kaki Cikgu Zam.Namun Fidzian masih ada rasa segan.Dia melihat ada sekeping sampul surat berwarna kuning di tangan Cikgu Zam.
“Cikgu sudah sedaya upaya untuk menolong awak.Cikgu sudah merayu pada pihak sekolah untuk mempertimbangkan semula hukuman terhadap awak.Tapi mereka tetap dengan keputusan mereka.Cikgu tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi.,”Fidzian cuba mendengar dengan penuh perhatian.Dia sedar ada riak sedih di wajah Cikgu Zam.
“Tujuan cikgu datang adalah untuk menyerahkan surat pemberhentian awak dari sekolah.Awak hanya dibenarkan datang ke sekolah untuk mengambil peperiksaan SPM sahaja pada bulan November nanti.Maafkan ,cikgu,”.Fidzian terus tertunduk.Dunianya gelap.Bagaikan malam tanpa bintang dan bulan.
Fidzian lantas bangun daripadai kerusi dan menuju ke arah Cikgu Zam lalu duduk disebelahnya.Fidzian menarik kedua-dua tangan Cikgu Zam.Fidziam ingin memohon maaf.Airmatanya jatuh.Dihatinya baru tumbuh kekesalan.Dimatanya kini ,Cikgu Zam bukan sahaja seorang guru malah seorang ayah dan seorang abang yang cukup mengambil berat tentang dirinya.Terlalu jauh bezanya dibandingkan dengan guru-guru yang lain.Mereka seolah memandang serong dan menjauhkan diri darinya.Teringatnya ,semasa dia hendak balik selepas kejadian pergaduhan tempoh hari,Cikgu Suraya,Cikgu Noraini, Cikgu Fatimah dan Cikgu Dayang Aminah menjeling-jeling dan berbisik-bisik antara satu sama lain.Begitu juga dengan Khiruddin,Afa dan Azlizul.Di mata mereka, Fidzian sudah dianggap seperti penjenayah yang sedang menunggu hukuman gantung.
Cikgu Zam membiarkan Fidzian melayan kesedihannya.Dia mengurut perlahan belakang Fidzian.Anak muda itu masih tunduk menangis.Biarlah anak muda itu melepaskan segala kesedihannya.Biarlah juga anak muda itu tahu dan sedar bahawa dalam keadaan sebegitu tetap ada orang yang masih mahu menghampiri dan mengambil berat tentang dirinya.Cikgu Zam teringat kata-kata seorang pakar motivasi,”Jangan kita jauhi orang yang mempunyai masalah.Dekati dan bantulah dirinya.Biar dia tahu ada orang yang mengambilberat tentang dirinya,”.
“Segalanya masih belum terlambat untuk awak berubah.Awak perlu belajar daripada peristiwa ini dan jangan sesekali diulangi perkara yang telah berlaku.Kembalilah seperti Mursya Fidzian yang pernah cikgu kenali dulu yang saban pagi cikgu tengok sibuk mengayuh basikal pergi ke sekolah.Cikgu begitu hormat pada sikap awak ketika itu.Cikgu ingin melihat awak seperti itu kembali.Penuh kesederhanaan dan kesopanan,”pinta Cikgu Zam lembut.Fidzian lantas mengangkat wajah dan memandang ke arah Cikgu Zam.Walaupun rasa malu menebal dihatinya namun dia gagahkan juga untuk memandang wajah Cikgu yang cukup tulus hatinya. Walaupun selama ini dia terlalu buta untuk menilainya.
“Saya berjanji.Saya akan berubah.Saya akan cuba menjadi seperti apa yang cikgu mahu,”ujar Fidzian bersungguh-sungguh.
“Awak tidak perlu berjanji pada cikgu.Awak perlu berjanji pada diri awak sendiri.Jujur dan ikhlas pada janji awak.Cuma awak perlu ingat,doa cikgu tetap untuk awak.Jangan awak persiakan,”ujar Cikgu Zam.
“Terima kasih Cikgu.Cikgu tidak pernah berputus asa dalam mendampingi saya dan menyedarkan saya.Maafkan saya kerana selama ini saya mempersiakan kepercayaan dan harapan cikgu terhadap saya,”
“Pesan cikgu,awak gunakanlah sisa-sisa masa yang tertinggal.Awak carilah ilmu secukupnya.Awak kejarlah impian.Capailah cita-cita awak.Selepas itu, barulah awak kembali untuk berjumpa Cikgu.Cikgu berjanji.Saat itu, barulah cikgu mengembalikan kepercayaan dan memberikan kemaafan cikgu untuk awak.Setakat ini……. cikgu belum dapat memaafkan awak,”Fidzian tersentak.Cukup hairan.
Itulah pertemuan terakhir Fidzian bersama Cikgu Zam.Setelah itu,Cikgu Zam sukar untuk dihubungi.Setiap panggilan tidak dijawab,sms dihantar tidak berbalas.Laman Facebook Cikgu Zam pun sudah tidak aktif lagi.Masih Fidzian ingat,selepas pertemuan itu,saat Hari Guru,Fidzian sanggup kembali berbasikal ke sekolah.Dia yakin Cikgu Zam pasti gembira melihat dia kembali berbasikal seperti dulu.Dia menunggu di luar pagar sekolah.Dia menanti dan mencari kelibat Cikgu Zam.Ditangan Fidzian tersedia bungkusan hadiah.Ingin diserahnya kepada Cikgu Zam .Tanda penghargaannya terhadap budi baik Cikgu Zam.Lama Fidzian menanti dengan penuh harapan.Namun hampa.Cikgu Zam tetap juga tidak muncul.Berita terakhir yang didengarnya tentang Cikgu Zam bahawa Cikgu itu memohon cuti tanpa gaji.Ramai yang tidak tahu sebab dia membuat keputusan sebegitu.Ada yang kata Cikgu Zam terlalu malu diherdiknya dulu.Ada pula mengatakan Cikgu Zam melanjutkan pelajarannya.Sehingga sampai ke tarikh pemergiannya melanjutkan pelajaran,Cikgu Zam tetap tidak dapat dijejaki.
Kini setelah lima belas tahun berada di perantauan,Fidzian terlalu yakin.Dia telah mengotakan janjinya dan memenuhi harapan Cikgu Zam.Cikgu Zam pasti bangga.Anak muda yang pernah bermasalah di zaman persekolahannya, kini telah memegang gelaran Doktor Falsafah dan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan untuk syarikatnya sendiri yang cukup gah di Kuala Lumpur.
Kini Fidzian kembali untuk meneruskan usahanya menjejaki Cikgu Zam.Dia masih ingin mengucup tangan Cikgu Zam.Dia ingin mengucapkan jutaan terima kasih.Tanpa semangat dan kesedaran yang diberikan oleh Cikgu Zam.Pasti hidupnya sudah hancur musnah.”Tapi dimanakah Cikgu Zam sekarang?”.
`Pagi itu awal-awal lagi, Fidzian melangkah keluar dari bilik hotel yang disewanya.Sejak semalam,dia hanya memerhati pemandangan tebingan sungai dari tingkat atas hotel bertaraf lima bintang itu.Hari ini ,dia ingin menikmati sendiri keindahan Tebingan Sungai Kuching sambil mengimbau kembali kenangan lama.
Bayu menyapa mesra.Seolah-olah menegur mesra anak watan yang telah kembali ke kampung halaman.Cuaca pada pagi itu cukup redup.Fidzian meneruskan perjalanan menyusuri tebingan yang sudah menjadi kemegahan penduduk Bandaraya Kuching.Sesekali langkahnya terhenti,dia menghala kamera ditangannya untuk merakamkan pemandangan yang menarik perhatiannya.
Tiba-tiba matanya terfokus ke arah seorang pemuda yang memakai baju kemeja kuning yang sedang duduk di bangku.Dia masih ingat raut wajah itu.Dia yakin.Dia segera mengatur langkah menuju ke arah pemuda itu.
“Assalamualaikum…,”Fidzian segera memberi salam.Pemuda itu menoleh.Wajahnya seakan tergamam.Dia ligat memerhati wajah Fidzian.Dia seakan cukup mengenali wajah yang memiliki tahi lalat di bawah dagu kiri itu.Dia akhirnya tersenyum.
“Dausssssssssss…..,”Fidzian meneka dengan cukup tepat.Kedua-dua bersalaman dan terus berpelukan.Dua sahabat lama yang sudah lama berpisah kembali berjumpa semula.
“Rasanya sudah hampir lima belas tahun kita tidak berjumpa,”Daus mula bersuara sebaik sahaja Fidzian duduk di sebelahnya.
“Aku ingat kau sudah lupa untuk balik ke Kuching.Maklumlah orang dah menjadi ahlli koporat yang berjaya.Muka pun dah selalu keluar kat majalah.”usik Daus sambil menepuk-nepuk belakang Fidzian.Fidzian hanya ketawa kecil.
“Aku tetap seperti dulu .Cuma aku tidak nakal seperti dahulu,”balas Fidzian sambil bibirnya tersenyum manis.
“Mana mungkin aku dapat melupakan negeri kelahiranku sendiri.Terlalu banyak kenangan aku di sini.Cuma aku belum bersedia untuk pulang,”Fidzian berkata lembut.
“Maksud kau?”Daus terpingga.
“Aku pergi demi nak menyahut cabaran dan mengejar impian.Aku bertekad tidak akan pulang ke Sarawak selagi impian aku tidak tercapai.Aku tetap berpegang pada janji.Kini impian dan cita-cita sudah menjadi kenyataan.Aku berjaya menyahut cabaran yang diberikan kepada aku.,”ujar Fidzian pelahan.Namun tiada riak bangga di wajahnya.Dia tetap merendah diri walau kedudukannya sekarang sudah melayakkannya bersikap angkuh sombong.Daus berasa cukup berbangga pada Fidzian.Teringatnya di alam persekolahan,Fidzian cukup bermasalah.Dia cukup berasa bersyukur melihat perubahan Fidzian.
“Kini aku pulang .Aku ingin sekali berjumpa dengan orang yang paling banyak berjasa dalam hidup aku.Dia yang banyak menyedarkan aku dan mengubah hidup aku,”
“Siapa?”Daus inginkan kepastian.
“Cikgu Zam………,”
Daus seakan terkejut.Dia tergamam mendengar perkataan yang terkeluar dari bibir Fidzian.Dia cuba menyembunyikannya.Dia seakan tidak menyangka Fidzian masih mengingati Cikgu Zam.Masih diingatannya,sikap dan layanan Fidzian terhadap cikgu Zam.Namun Cikgu Zam tetap tidak pernah berkecil hati walaupun dia pernah nampak kecewa dengan sikap Fidzian.Daus teringat kata Cikgu Zam,”Niat cikgu hanya untuk membimbing Fidzian.Cikgu yakin dia akan sedar suatu hari nanti,”.
Malam itu Fidzian berbaring sendirian.Matanya memandang sekeliling kamar hotel yang bertaraf lima bintang itu.Kemudian dia bingkas bangun dan menuju ke arah sofa putih yang terletak di tepi tingkap.Matanya memandang ke arah luar tingkap.Lampu neon menerangi keindahan bandar raya Kuching.
“Cikgu Zam tidak pernah melupakan kau.Dia terlalu gembira apabila mendengar kau berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti.Kau tahu…dia tidak pernah berhenti mendoakan kejayaan kau.Baginya,kau sudah seperti adik ,keluarga dan sebahagian hidupnya sendiri.Walaupun kau selalu berbohong dan mengecewakannya tetapi dia tidak pernah membenci kau,”kata-kata Daus semasa bertemu pagi tadi bermain kembali di ingatannya.Fidzian terdiam sejenak.Kemudian menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan.Terlalu banyak peristiwa bersama Cikgu Zam singgah di kotak ingatannya setelah dia kembali ke sini.
Fidzian berasa sebak.Ada sejuta kesalan bergelora dalam hatinya.Selama ini ,dia berusaha mengumpul kekuatan bagi mengatasi perasaan hiba yang menghuni dijiwanya.Esok,perasaan ini akan cuba dilepaskan.Dia berasa puas.Daus sudah berjanji untuk membawanya berjumpa dengan Cikgu Zam.Fidzian berasa bersyukur.Dia berasa tidak sabar untuk menatap wajah Cikgu Zam.Paling penting,dia ingin mendapatkan kemaafan seperti yang pernah Cikgu Zam janjikan.Fidzian terpandang bungkusan hadiah di atas meja.Hadiah yang belum sempat diserahkannya sejak 15 tahun lalu.Esok,hadiah berisi kain songket merah pasti sampai ke tangan pemiliknya.Tiba-tiba dia teringat wajah Daus ketika dia menyebut nama Cikgu Zam tadi.Serta merta wajah Daus berubah.Mungkinkah Daus tidak suka niatnya hendak berjumpa dengan Cikgu Zam?.Dia tahu dulu Daus terlalu cemburu melihat dirinya diberi perhatian oleh Cikgu Zam.Mungkinkah Daus takut dia akan kembali berbohong kepada Cikgu Zam.Persoalan demi persoalan bermain difikirannya.Fidzian menghela nafasnya.Dia telah terfikirkan yang bukan-bukan.
Seawal pagi lagi, Daus sudah berada di hadapan perkarangan hotel untuk menjemput Fidzian.Sebaik Fidzian masuk ke dalam perut kereta,Dauz menghidupkan enjin kereta,perlahan-lahan meninggalkan kawasan hotel itu.Perjalanan hanya diisi dengan lagu-lagu nyanyian Dayang Nurfaizah.Minat Daus terhadap penyanyi ala ala Beyonce ini tetap tidak berubah.Fidzian membiarkan Daus leka menghayati lagu-lagu nyanyian artis pujaannya.
“Semalam aku mimpikan Cikgu Zam.Dia memelukku erat sambil menepuk-nepuk belakang aku,seolah-olah bangga dengan kejayaan aku.Dia kemudiannya tersenyum memandang aku,”tiba-tiba Fidzian bersuara.Daus yang sebentar tadi khusyuk mendengar lagu tiba-tiba bertukar wajah.Dia menoleh ke arah Fidzian.Pandangannya menimbulkan sejuta lagi persoalan untuk Fidzian.Cukup membuat Fidzian berasa serba salah.Namun dia cuba memaksa dirinya untuk mengukir senyuman kecil.
“Aku sudah tidak sabar untuk berjumpa Cikgu Zam.Aku tidak sabar untuk memohon maaf,”ujar Fidzian.
“Sabarlah,nanti kau pasti akan dapat berjumpa dengan Cikgu Zam,”Daus cuba mengukir senyuman kecil walaupun terlalu payah.Dia kemudiannya terus memberi tumpuan pada kereta yang dipandunya.Fidzian pula terus menoleh lesu ke arah cermin sambil menyaksikan lorong-lorong yang disusuri pada pagi itu .Pemandangan pepohon menghijau menarik perhatiannya.
Dua puluh minit kemudian,Daus membelok ke dalam perkarangan surau.Fidzian berasa hatinya berdebar-debar semula.Dia yakin Cikgu Zam pasti tinggal di sekitar kawasan tersebut.Debaran hatinya semakin kencang.Dia bakal berjumpa kembali dengan orang yang sudah lima belas tahun tidak dijumpanya.

Kemudian Daus memberhentikan keretanya di hadapan surau.Fidzian cepat-cepat turun dari kereta.Tidak henti-henti dia meminta Daus segera membawanya berjumpa dengan Cikgu Zam.Daus hanya menurut.Fidzian mengikut jejak langkah Daus dari belakang.Jalan-jalan yang disusuri mereka berdua cukup menghairankan Fidzian.Bau haruman bunga cempaka singgah di hidungnya.Langkah Daus tiba-tiba terhenti.Dia memandang sayu ke arah Fidzian.Fidzian terlopong kehairanan melihat gelagat Daus.Daus masih terdiam.Hanya matanya sayu memandang Fidzian.Dia kemudianya mengusap-usap bahu Fidzian.Seolah meminta Fidzian tabah melihat kenyataan yang sudah ada matanya.
“Disinilah…..tempatnya Cikgu Zam berada sekarang…………..,”Kata Daus perlahan.Fidzian terpinga.Rasakan bagai tidak percaya pada apa yang dilihatnya.
“Cikgu Zam…Cikgu Zam….… sudah lima tahun meninggalkan kita,”Daus bersuara cukup perlahan.Cukup sayu.Fidzian terdiam.Matanya terfokus ke arah pusara di hadapannya.Kelihatan air matanya menuruni lekuk pipi.Terasa terbang segala semangatnya.Bungkusan hadiah yang dibawanya digenggamnya erat.Rasa kecewa dan kesal menghantui perasaannya.Fidzian terus terus terduduk di sisi pusara itu.Dikucupnya batu nesan dengan linangan airmata.Daus cukup memahami perasaan Fidzian.
Fidzian terkaku.Dia bagaikan tidak percaya pada apa yang dilihatnya.Dia ingin menjerit sekuat hati bagi melepaskan kesedihannya.Perasaan kesal dan berdosa telah menghiris perasaannya.Masih dia teringat,wajah Cikgu Zam semasa diherdiknya dulu.Namun Cikgu Zam tetap tidak pernah menghukumnya ataupun memarahinya.Puas juga dia berbohong,namun Cikgu Zam tetap tidak pernah berputus asa.Semangat seorang pendidik cukup kebal di jiwa guru yang sentiasa disenangi oleh para anak didiknya itu..Airmata Fidzian masih berlinangan.Dia masih belum dapat menerima kenyataan yang sebenarnya.Teringat Fidzian pada prinsipnya dulu,kalau nak berbohong ker,nak kata apa ker,semuanya free of charge.Tapi kini dia terpaksa menanggung pembalasannya.Sesungguhnya Allah itu maha adil.”Inilah pembalasan untuk aku.Aku tidak berkesempatan untuk mendapat kemaafan dan keampunan daripada Cikgu Zam.”bisik Fidzian dalam hati.
“Aku minta maaf sebab tidak memberitahu kau terlebih dahulu.Aku tidak sampai hati hendak memberitahu kau,”terang Daus sambil memujuk Fidzian.Fidzian hanya mengangguk perlahan.Mata Fidzian masih tertunduk memandang batu nesan yang kaku.
“Aku berdosa…aku terlalu banyak berdosa kepada Cikgu Zam.….,”kata-katanya terhenti.Fidzian mengangkat mukanya.Airmatanya deras mengalir.Fidzian teresak-esak menangis.
“Fidzian,sebelum pemergiannya,Cikgu Zam ada berjumpa dengan aku dan meminta aku menyerahkan surat ini kepada kau.Dia meminta aku menyerahkannya kepada kau sekiranya aku berkesempatan berjumpa dengan kau,”ujar Daus lalu menyerahkan surat berwarna putih ke tangan Fidzian.Segera Fidzian membuka dan membaca surat itu.


Buat Mursya Fidzian,
Saat Fidzian membaca surat ini,cikgu telah berada jauh dari sini.Bukan bermaksud cikgu untuk membenci Fidzian tetapi keadaan tidak mengizinkan.Walaupun apa yang pernah berlaku,sejujurnya cikgu katakan,cikgu tetap tidak pernah berasa kecil hati, membenci ataupun menyimpan perasaan dendam terhadap Fidzian.Malah cikgu terlalu bangga kerna pernah mengenali Fidzian.Mengenali Fidzian banyak memberi pengalaman dan mematangkan cikgu sebagai seorang pendidik.
Lihatlah kejayaan Fidzian sekarang.Inilah yang cikgu amat harapkan.Syukur..Fidzian telah melakukan segala yang cikgu inginkan.Cikgu berasa amat berbangga.Sejak dulu lagi,cikgu yakin Fidzian seorang pelajar yang berpotensi untuk berjaya dan mampu untuk mencapai kejayaan.Syabas,Fidzian telah membuktikannya kepada cikgu .Inilah yang cikgu impikan daripada Fidzian walaupun hanya mampu melihat kejayaan Fidzian dari jauh.Namun cikgu tetap menumpang gembira.
Namun Fidzian,kita tidak mampu melawan suratan takdir.Percayalah,setiap yang berlaku tetap ada hikmahnya.Namun janganlah dikesali segala yang berlaku.Janganlah Fidzian berasa bersalah terhadap segala perbuatan dan tingkahlaku yang Fidzian lakukan kepada cikgu dulu.Cikgu anggap semua itu sebagai cabaran dalam tugas cikgu.Walaupun cikgu terkilan kerana tidak berpeluang menyambut Fidzian yang pulang dengan kejayaan,namun dengan seikhlasnya untuk Fidzian…….,cikgu dengan sepenuh hati memaafkan Fidzian dan mengembalikan segala kepercayaan cikgu kepada Fidzian.
Hargailah segala yang ada bersama kita, sementara peluang masih ada dan jangan terlalu dikesali apabila ianya sudah jauh meninggalkan kita.

Salam Terakhir,
Cikgu Zam

Titisan airmata Fidzian jatuh membasahi surat itu.Daus hanya memerhati keadaan Fidzian.Dia tahu Fidzian terlalu bersedih.Fidzian cukup bersalah.Namun Daus cukup berbangga,kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Cikgu Zam telah banyak mengubah nasib anak muda yang kini sudah bergelar ahli koporat terkemuka itu.Tanpa kekuatan semangat Cikgu Zam dalam mengubah Fidzian.Mungkin Fidzian tidak seperti yang dilhatnya hari ini.Anak muda itu kembali dengan sikapnya yang penuh kesederhanaan walaupun sudah dilimpahi kemewahan.Alangkah gembiranya kalau Cikgu Zam yang sendiri menyambut kehadiran Fidzian.Namun Qada dan Qadar menentukan perjalanan kehidupan.Daus kagum pada semangat Cikgu Zam.Daus yakin,walaupun Cikgu Zam sudah tiada,namun semangat dan kata-kata Cikgu Zam tetap hidup dalam jiwa Fidzian.

Fidzian membuka bungkusan hadiah yang dibawanya.Kain songket merah dikeluarmya perlahan.Diletaknya perlahan di sisi pusara itu.Teringat Fidzian angannya dulu,Cikgu Zam akan tersenyum bangga menyambut kepulangannya.Pasti dan sepastinya, Cikgu Zam akan berasa gembira menerima kain songket merah itu.Tetapi tidak semua yang diangankan mampu menjadi kenyataan.Itulah hakikat. Peluang kedua dalam kekadang bukan mudah untuk kita dapat.Itu yang sepastinya.
“Fidzian….,walaupun Cikgu Zam telah tiada,namun semangatnya tetap hidup dalam diri kau.Relakanlah pemergiannya.Sedekahkanlah Al Fatihah.Itulah yang terbaik.Doakanlah semoga dia sentiasa tenang disisiNya”Daus bersuara perlahan.Fidzian semakin teresak menangis di sebelahnya.
Fidzian kemudian menikam pandangannya jauh ke hadapan.Teringatnya kata Daus dulu,Kita mudah meremehkan segala yang ada di hadapan mata,kita pasti akan menyesali apabila ianya sudah tiada.

KARYA: MOHD ZAMRI JULI


BIODATA PENULIS:
Nama Penuh: MOHD ZAMRI B JULI
Nama Panggilan: Zam
Hobi: Melayari internet,mendengar lagu dan membaca
Asal: KUCHING

Prinsip: Mencapai impian selagi termampu

Emel: cikguzam9245@yahoo.com

Facebook: Mohd Zamri Juli

Meminati penulisan sejak di alam persekolahan (SMB ST THOMAS).Berminat menulis Cerpen,Sajak ,Lirik lagu dan Skrip Drama.Cerpen berjudul berjudul Cikgu Zam pernah tersiar di Utusan Sarawak pada 2009,dan beberapa buah sajak hasil tulisannya pernah tersiar dalam majalah REMAJA

No comments:

Post a Comment