Saturday, July 17, 2010
KASIHMU CIKGU ZAM (BHGN 2)
Sambungan:24 Julai 2010(UTUSAN SARAWAK)
“Jangan mudah hanyut dek rayuan perempuan.Awak masih muda.Awak perlu berusaha bersungguh-sungguh demi SPM nanti.Jangan sampai awak dipermainkan dan diperbodohkan oleh perempuan,”nasihat Cikgu Zam tiba-tiba kembali diingatinya.Semalam dia sendiri nampak Fidzian berdua-duaan dengan Ika di gerai burger pada pukul dua pagi.Siap lagi memakai baju melayu dan baju kurung.Bagai orang nak pergi jumpa Tok Kadi.
“Cikgu bukan bermaksud nak mencampuri urusan peribadi awak tapi cikgu lihat sejak awak rapat dengan Ika,awak sudah mula berubah.Cara penampilan awak sudah jauh berubah.Rambut pun dah tidak terurus.Awak sudah seperti budak samseng di tepi jalan.Awak sudah tidak berimej seperti seorang pelajar”
“Sekali lagi cikgu katakan,cikgu ikhlas untuk menolong awak.Datanglah berjumpa cikgu kalau awak perlukan bantuan cikgu,”Cikgu Zam tetap berusaha untuk memujuk Fidzian.Harapannya satu.Fidzian sedar akan kesilapannya.
“Nanti apa pula kata orang,cikgu.Tentu orang kata yang saya ni nak ambil kesempatan.Saya perlu juga fikirkan pandangan orang,”Fidzian lantas bersuara.Terlalu bijak Fidzian mengatur kata.
“Kalau hal macam tu,baru nak fikirkan pandangan orang.Tapi….. bawa perempuan naik moto ke hulu ke hilir ,melepak melalak di tepi jalan,berdua-dua sampai tengah malam,berkawan dengan budak-budak samseng,makan pil,hisap dadah,minum arak dan berjudi.Tidak pula nak fikir pandangan orang lain,”bicara Cikgu Zam dalam hati.Dia tersenyum kecil memandang Fidzian.Mungkin Fidzian tidak tahu yang dia sudah mengetahui hal tersebut.
Fidzian bersandar di kepala katil.Satu persatu peristiwa berlegar di kotak ingatannya.Hari itu,dia bersendirian di rumah.Keluarganya balik ke kampung.Kini keluarganya sendiri seakan memulaunya.Ibu bapanya sendiri sudah malas nak ambil tahu tentang dirinya lagi.Satu persatu peristiwa yang berlaku mengingatkannya kepada Cikgu Zam.Dia seakan sedar. Cikgu Zam sentiasa mengambil berat tentang dirinya.Cikgu Zam terlalu baik terhadapnya.Apa saja pandangan orang terhadapnya,Cikgu Zam tetap tidak memperdulikannya.Cikgu Zam tetap percaya padanya walaupun sudah beberapa kali dia menipu guru yang cukup bertanggungjawab itu.Fidzian tiba-tiba mengeluh.Mengapakah aku terlalu bodoh?.Terbayang dimatanya wajah Cikgu Zam semasa diherdiknya dua hari lepas.
Kini Cikgu Zam mungkin sudah membencinya.Cikgu Zam pasti tidak menghormati dan mengambilberat tentang dirinya lagi.Sepastinya Cikgu Zam tidak melayannya lagi seperti dulu malah pasti membuang namanya jauh-jauh dari kotak ingatan.Fidzian cukup yakin dan pasti.Fidzian akui,dia telah banyak menyakiti hati Cikgu Zam.Dia telah banyak menghancurkan kepercayaan Cikgu Zam.Dia telah banyak memperbodohkan diri dengan perkara yang remeh temeh.
“Baru dapat duit biasiswa kau sudah mula berlagak.Sudah mula lupa daratan.Kau sudah mula berasa yang diri kau terlalu hebat.Belum lagi kau berpangkat tinggi dan hidup mewah. Kau lah orang yang tidak tahu diuntung.Kau tidak menghargai kebaikan dan kepercayaan yang Cikgu Zam berikan pada kau.Di antara ratusan pelajar,dia memilih kau untuk didampingi.Dia bukan bermaksud untuk bersikap pilih kasih tetapi dia ingin membentuk dan membimbing kau sebab dia yakin,diri kau terlalu banyak potensi.Kau mudah meremehkan segala yang ada di hadapan mata kau.Tapi kau perlu ingat,kau pasti akan tercari-cari apabila ianya sudah tiada.Setiap manusia ada had kesabarannya.Jangan sampai kesabaran dan perasaan kasih sayang itu sudah hilang,” Daus bersuara dengan cukup marah.Itulah kata-kata terakhir Daus.Sejak itu, dia tidak berjumpa dengan Daus lagi.
Kedengaran pintu diketuk sesorang.Fidzian segera menuju ke ruang tamu.Fikirannya berserabut.Fidzian segera membuka pintu.Dia tergamam.Cikgu Zam berdiri dihadapannya.
Di ruang tamu,Fidzian duduk bertentangan dengan Cikgu Zam.Rasanya ,ingin segera dia memohon maaf dan melutut di kaki Cikgu Zam.Namun Fidzian masih ada rasa segan.Dia melihat ada sekeping sampul surat berwarna kuning di tangan Cikgu Zam.
“Cikgu sudah sedaya upaya untuk menolong awak.Cikgu sudah merayu pada pihak sekolah untuk mempertimbangkan semula hukuman terhadap awak.Tapi mereka tetap dengan keputusan mereka.Cikgu tidak mampu untuk berbuat apa-apa lagi.,”Fidzian cuba mendengar dengan penuh perhatian.Dia sedar ada riak sedih di wajah Cikgu Zam.
“Tujuan cikgu datang adalah untuk menyerahkan surat pemberhentian awak dari sekolah.Awak hanya dibenarkan datang ke sekolah untuk mengambil peperiksaan SPM sahaja pada bulan November nanti.Maafkan ,cikgu,”.Fidzian terus tertunduk.Dunianya gelap.Bagaikan malam tanpa bintang dan bulan.
Fidzian lantas bangun daripadai kerusi dan menuju ke arah Cikgu Zam lalu duduk disebelahnya.Fidzian menarik kedua-dua tangan Cikgu Zam.Fidziam ingin memohon maaf.Airmatanya jatuh.Dihatinya baru tumbuh kekesalan.Dimatanya kini ,Cikgu Zam bukan sahaja seorang guru malah seorang ayah dan seorang abang yang cukup mengambil berat tentang dirinya.Terlalu jauh bezanya dibandingkan dengan guru-guru yang lain.Mereka seolah memandang serong dan menjauhkan diri darinya.Teringatnya ,semasa dia hendak balik selepas kejadian pergaduhan tempoh hari,Cikgu Suraya,Cikgu Noraini, Cikgu Fatimah dan Cikgu Dayang Aminah menjeling-jeling dan berbisik-bisik antara satu sama lain.Begitu juga dengan Khiruddin,Afa dan Azlizul.Di mata mereka, Fidzian sudah dianggap seperti penjenayah yang sedang menunggu hukuman gantung.
Cikgu Zam membiarkan Fidzian melayan kesedihannya.Dia mengurut perlahan belakang Fidzian.Anak muda itu masih tunduk menangis.Biarlah anak muda itu melepaskan segala kesedihannya.Biarlah juga anak muda itu tahu dan sedar bahawa dalam keadaan sebegitu tetap ada orang yang masih mahu menghampiri dan mengambil berat tentang dirinya.Cikgu Zam teringat kata-kata seorang pakar motivasi,”Jangan kita jauhi orang yang mempunyai masalah.Dekati dan bantulah dirinya.Biar dia tahu ada orang yang mengambilberat tentang dirinya,”.
“Segalanya masih belum terlambat untuk awak berubah.Awak perlu belajar daripada peristiwa ini dan jangan sesekali diulangi perkara yang telah berlaku.Kembalilah seperti Mursya Fidzian yang pernah cikgu kenali dulu yang saban pagi cikgu tengok sibuk mengayuh basikal pergi ke sekolah.Cikgu begitu hormat pada sikap awak ketika itu.Cikgu ingin melihat awak seperti itu kembali.Penuh kesederhanaan dan kesopanan,”pinta Cikgu Zam lembut.Fidzian lantas mengangkat wajah dan memandang ke arah Cikgu Zam.Walaupun rasa malu menebal dihatinya namun dia gagahkan juga untuk memandang wajah Cikgu yang cukup tulus hatinya. Walaupun selama ini dia terlalu buta untuk menilainya.
“Saya berjanji.Saya akan berubah.Saya akan cuba menjadi seperti apa yang cikgu mahu,”ujar Fidzian bersungguh-sungguh.
“Awak tidak perlu berjanji pada cikgu.Awak perlu berjanji pada diri awak sendiri.Jujur dan ikhlas pada janji awak.Cuma awak perlu ingat,doa cikgu tetap untuk awak.Jangan awak persiakan,”ujar Cikgu Zam.
“Terima kasih Cikgu.Cikgu tidak pernah berputus asa dalam mendampingi saya dan menyedarkan saya.Maafkan saya kerana selama ini saya mempersiakan kepercayaan dan harapan cikgu terhadap saya,”
“Pesan cikgu,awak gunakanlah sisa-sisa masa yang tertinggal.Awak carilah ilmu secukupnya.Awak kejarlah impian.Capailah cita-cita awak.Selepas itu, barulah awak kembali untuk berjumpa Cikgu.Cikgu berjanji.Saat itu, barulah cikgu mengembalikan kepercayaan dan memberikan kemaafan cikgu untuk awak.Setakat ini……. cikgu belum dapat memaafkan awak,”Fidzian tersentak.Cukup hairan.
Itulah pertemuan terakhir Fidzian bersama Cikgu Zam.Setelah itu,Cikgu Zam sukar untuk dihubungi.Setiap panggilan tidak dijawab,sms dihantar tidak berbalas.Laman Facebook Cikgu Zam pun sudah tidak aktif lagi.Masih Fidzian ingat,selepas pertemuan itu,saat Hari Guru,Fidzian sanggup kembali berbasikal ke sekolah.Dia yakin Cikgu Zam pasti gembira melihat dia kembali berbasikal seperti dulu.Dia menunggu di luar pagar sekolah.Dia menanti dan mencari kelibat Cikgu Zam.Ditangan Fidzian tersedia bungkusan hadiah.Ingin diserahnya kepada Cikgu Zam .Tanda penghargaannya terhadap budi baik Cikgu Zam.Lama Fidzian menanti dengan penuh harapan.Namun hampa.Cikgu Zam tetap juga tidak muncul.Berita terakhir yang didengarnya tentang Cikgu Zam bahawa Cikgu itu memohon cuti tanpa gaji.Ramai yang tidak tahu sebab dia membuat keputusan sebegitu.Ada yang kata Cikgu Zam terlalu malu diherdiknya dulu.Ada pula mengatakan Cikgu Zam melanjutkan pelajarannya.Sehingga sampai ke tarikh pemergiannya melanjutkan pelajaran,Cikgu Zam tetap tidak dapat dijejaki.
Kini setelah lima belas tahun berada di perantauan,Fidzian terlalu yakin.Dia telah mengotakan janjinya dan memenuhi harapan Cikgu Zam.Cikgu Zam pasti bangga.Anak muda yang pernah bermasalah di zaman persekolahannya, kini telah memegang gelaran Doktor Falsafah dan memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan untuk syarikatnya sendiri yang cukup gah di Kuala Lumpur.
Kini Fidzian kembali untuk meneruskan usahanya menjejaki Cikgu Zam.Dia masih ingin mengucup tangan Cikgu Zam.Dia ingin mengucapkan jutaan terima kasih.Tanpa semangat dan kesedaran yang diberikan oleh Cikgu Zam.Pasti hidupnya sudah hancur musnah.”Tapi dimanakah Cikgu Zam sekarang?”.
`Pagi itu awal-awal lagi, Fidzian melangkah keluar dari bilik hotel yang disewanya.Sejak semalam,dia hanya memerhati pemandangan tebingan sungai dari tingkat atas hotel bertaraf lima bintang itu.Hari ini ,dia ingin menikmati sendiri keindahan Tebingan Sungai Kuching sambil mengimbau kembali kenangan lama.
Bayu menyapa mesra.Seolah-olah menegur mesra anak watan yang telah kembali ke kampung halaman.Cuaca pada pagi itu cukup redup.Fidzian meneruskan perjalanan menyusuri tebingan yang sudah menjadi kemegahan penduduk Bandaraya Kuching.Sesekali langkahnya terhenti,dia menghala kamera ditangannya untuk merakamkan pemandangan yang menarik perhatiannya.
Tiba-tiba matanya terfokus ke arah seorang pemuda yang memakai baju kemeja kuning yang sedang duduk di bangku.Dia masih ingat raut wajah itu.Dia yakin.Dia segera mengatur langkah menuju ke arah pemuda itu.
“Assalamualaikum…,”Fidzian segera memberi salam.Pemuda itu menoleh.Wajahnya seakan tergamam.Dia ligat memerhati wajah Fidzian.Dia seakan cukup mengenali wajah yang memiliki tahi lalat di bawah dagu kiri itu.Dia akhirnya tersenyum.
“Dausssssssssss…..,”Fidzian meneka dengan cukup tepat.Kedua-dua bersalaman dan terus berpelukan.Dua sahabat lama yang sudah lama berpisah kembali berjumpa semula.
“Rasanya sudah hampir lima belas tahun kita tidak berjumpa,”Daus mula bersuara sebaik sahaja Fidzian duduk di sebelahnya.
“Aku ingat kau sudah lupa untuk balik ke Kuching.Maklumlah orang dah menjadi ahlli koporat yang berjaya.Muka pun dah selalu keluar kat majalah.”usik Daus sambil menepuk-nepuk belakang Fidzian.Fidzian hanya ketawa kecil.
“Aku tetap seperti dulu .Cuma aku tidak nakal seperti dahulu,”balas Fidzian sambil bibirnya tersenyum manis.
“Mana mungkin aku dapat melupakan negeri kelahiranku sendiri.Terlalu banyak kenangan aku di sini.Cuma aku belum bersedia untuk pulang,”Fidzian berkata lembut.
“Maksud kau?”Daus terpingga.
“Aku pergi demi nak menyahut cabaran dan mengejar impian.Aku bertekad tidak akan pulang ke Sarawak selagi impian aku tidak tercapai.Aku tetap berpegang pada janji.Kini impian dan cita-cita sudah menjadi kenyataan.Aku berjaya menyahut cabaran yang diberikan kepada aku.,”ujar Fidzian pelahan.Namun tiada riak bangga di wajahnya.Dia tetap merendah diri walau kedudukannya sekarang sudah melayakkannya bersikap angkuh sombong.Daus berasa cukup berbangga pada Fidzian.Teringatnya di alam persekolahan,Fidzian cukup bermasalah.Dia cukup berasa bersyukur melihat perubahan Fidzian.
“Kini aku pulang .Aku ingin sekali berjumpa dengan orang yang paling banyak berjasa dalam hidup aku.Dia yang banyak menyedarkan aku dan mengubah hidup aku,”
“Siapa?”Daus inginkan kepastian.
“Cikgu Zam………,”
Daus seakan terkejut.Dia tergamam mendengar perkataan yang terkeluar dari bibir Fidzian.Dia cuba menyembunyikannya.Dia seakan tidak menyangka Fidzian masih mengingati Cikgu Zam.Masih diingatannya,sikap dan layanan Fidzian terhadap cikgu Zam.Namun Cikgu Zam tetap tidak pernah berkecil hati walaupun dia pernah nampak kecewa dengan sikap Fidzian.Daus teringat kata Cikgu Zam,”Niat cikgu hanya untuk membimbing Fidzian.Cikgu yakin dia akan sedar suatu hari nanti,”.
Malam itu Fidzian berbaring sendirian.Matanya memandang sekeliling kamar hotel yang bertaraf lima bintang itu.Kemudian dia bingkas bangun dan menuju ke arah sofa putih yang terletak di tepi tingkap.Matanya memandang ke arah luar tingkap.Lampu neon menerangi keindahan bandar raya Kuching.
“Cikgu Zam tidak pernah melupakan kau.Dia terlalu gembira apabila mendengar kau berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti.Kau tahu…dia tidak pernah berhenti mendoakan kejayaan kau.Baginya,kau sudah seperti adik ,keluarga dan sebahagian hidupnya sendiri.Walaupun kau selalu berbohong dan mengecewakannya tetapi dia tidak pernah membenci kau,”kata-kata Daus semasa bertemu pagi tadi bermain kembali di ingatannya.Fidzian terdiam sejenak.Kemudian menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan.Terlalu banyak peristiwa bersama Cikgu Zam singgah di kotak ingatannya setelah dia kembali ke sini.
Fidzian berasa sebak.Ada sejuta kesalan bergelora dalam hatinya.Selama ini ,dia berusaha mengumpul kekuatan bagi mengatasi perasaan hiba yang menghuni dijiwanya.Esok,perasaan ini akan cuba dilepaskan.Dia berasa puas.Daus sudah berjanji untuk membawanya berjumpa dengan Cikgu Zam.Fidzian berasa bersyukur.Dia berasa tidak sabar untuk menatap wajah Cikgu Zam.Paling penting,dia ingin mendapatkan kemaafan seperti yang pernah Cikgu Zam janjikan.Fidzian terpandang bungkusan hadiah di atas meja.Hadiah yang belum sempat diserahkannya sejak 15 tahun lalu.Esok,hadiah berisi kain songket merah pasti sampai ke tangan pemiliknya.Tiba-tiba dia teringat wajah Daus ketika dia menyebut nama Cikgu Zam tadi.Serta merta wajah Daus berubah.Mungkinkah Daus tidak suka niatnya hendak berjumpa dengan Cikgu Zam?.Dia tahu dulu Daus terlalu cemburu melihat dirinya diberi perhatian oleh Cikgu Zam.Mungkinkah Daus takut dia akan kembali berbohong kepada Cikgu Zam.Persoalan demi persoalan bermain difikirannya.Fidzian menghela nafasnya.Dia telah terfikirkan yang bukan-bukan.
Seawal pagi lagi, Daus sudah berada di hadapan perkarangan hotel untuk menjemput Fidzian.Sebaik Fidzian masuk ke dalam perut kereta,Dauz menghidupkan enjin kereta,perlahan-lahan meninggalkan kawasan hotel itu.Perjalanan hanya diisi dengan lagu-lagu nyanyian Dayang Nurfaizah.Minat Daus terhadap penyanyi ala ala Beyonce ini tetap tidak berubah.Fidzian membiarkan Daus leka menghayati lagu-lagu nyanyian artis pujaannya.
“Semalam aku mimpikan Cikgu Zam.Dia memelukku erat sambil menepuk-nepuk belakang aku,seolah-olah bangga dengan kejayaan aku.Dia kemudiannya tersenyum memandang aku,”tiba-tiba Fidzian bersuara.Daus yang sebentar tadi khusyuk mendengar lagu tiba-tiba bertukar wajah.Dia menoleh ke arah Fidzian.Pandangannya menimbulkan sejuta lagi persoalan untuk Fidzian.Cukup membuat Fidzian berasa serba salah.Namun dia cuba memaksa dirinya untuk mengukir senyuman kecil.
“Aku sudah tidak sabar untuk berjumpa Cikgu Zam.Aku tidak sabar untuk memohon maaf,”ujar Fidzian.
“Sabarlah,nanti kau pasti akan dapat berjumpa dengan Cikgu Zam,”Daus cuba mengukir senyuman kecil walaupun terlalu payah.Dia kemudiannya terus memberi tumpuan pada kereta yang dipandunya.Fidzian pula terus menoleh lesu ke arah cermin sambil menyaksikan lorong-lorong yang disusuri pada pagi itu .Pemandangan pepohon menghijau menarik perhatiannya.
Dua puluh minit kemudian,Daus membelok ke dalam perkarangan surau.Fidzian berasa hatinya berdebar-debar semula.Dia yakin Cikgu Zam pasti tinggal di sekitar kawasan tersebut.Debaran hatinya semakin kencang.Dia bakal berjumpa kembali dengan orang yang sudah lima belas tahun tidak dijumpanya.
Kemudian Daus memberhentikan keretanya di hadapan surau.Fidzian cepat-cepat turun dari kereta.Tidak henti-henti dia meminta Daus segera membawanya berjumpa dengan Cikgu Zam.Daus hanya menurut.Fidzian mengikut jejak langkah Daus dari belakang.Jalan-jalan yang disusuri mereka berdua cukup menghairankan Fidzian.Bau haruman bunga cempaka singgah di hidungnya.Langkah Daus tiba-tiba terhenti.Dia memandang sayu ke arah Fidzian.Fidzian terlopong kehairanan melihat gelagat Daus.Daus masih terdiam.Hanya matanya sayu memandang Fidzian.Dia kemudianya mengusap-usap bahu Fidzian.Seolah meminta Fidzian tabah melihat kenyataan yang sudah ada matanya.
“Disinilah…..tempatnya Cikgu Zam berada sekarang…………..,”Kata Daus perlahan.Fidzian terpinga.Rasakan bagai tidak percaya pada apa yang dilihatnya.
“Cikgu Zam…Cikgu Zam….… sudah lima tahun meninggalkan kita,”Daus bersuara cukup perlahan.Cukup sayu.Fidzian terdiam.Matanya terfokus ke arah pusara di hadapannya.Kelihatan air matanya menuruni lekuk pipi.Terasa terbang segala semangatnya.Bungkusan hadiah yang dibawanya digenggamnya erat.Rasa kecewa dan kesal menghantui perasaannya.Fidzian terus terus terduduk di sisi pusara itu.Dikucupnya batu nesan dengan linangan airmata.Daus cukup memahami perasaan Fidzian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment