Tuesday, December 6, 2011
SERI KASIHKU....
Alhamdulilah...Karya yang berjudul..SERI KASIHKU...tersiar di UTUSAN SARAWAK pada penghujung Jun lepas...TQ atas komen-komen yang diberikan.Insya Allah,kalau ada kesempatan..karya-karya yang pernah tersiar akan cuba dibukukan.Alhamdulilah..ada tawaran daripada pihak penerbitan buku namun masih dipertimbangkan.Sesiapa yang tak berkesempatan baca kt Utusan Sarawak..baca je kt blog ni...kisah seorang wanita yang berada dalam dilema utk kembali ke pangkuan bekas suaminya.Semoga terhibur ...jgn lupa karya terbaru akan keluar pada bulan disember...KARYA TERBARU..JANJI 17 DISEMBER...
SERI KASIHKU
KARYA: MOHD ZAMRI JULI
Dayang duduk memerhati gelagat pramugari menunjuk ajar cara memasang tali pinggang keselamatan.Matanya leka memandang namun fikirannya jauh melayang.Wajahnya berkerut.Adakah keputusan yang diambilnya ini sebuah keputusan yang paling tepat? .
“Kau pulanglah ke pangkuan Hisyam.Berilah dia peluang kali kedua.Demi Mimi ,kembalilah ke pangkuannya,”cukup sayu Mak Leha mengatur kata.Dayang terdiam.Bagaikan tidak tahu menyusun kata-kata untuk menjawab kata-kata Mak Leha. Matanya bulat memandang wajah Mak Leha.Dia tahu.Mak Leha terlalu mengharapkan kata persetujuan daripadanya.
Dayang cukup dalam dilema.Fikiran Dayang jauh melayang.Setinggi awan yang menghias langit membiru.Dayang membayangkan masa hadapan yang akan dilaluinya nanti.”Mungkinkah peluang kedua ini akan dihargai?Mungkinkah dirinya akan disakiti lagi?Mungkinkah dia dapat menerima kembali lelaki yang bernama Hisyam dengan sepenuh hati?.Ahhhh….terlalu banyak persoalan yang bermain menghantui fikiran. Tapi bagaimanakah dengan Amran?”
Penerbangan yang mengambil masa satu jam empat puluh minit telah sampai ke destinasi.Dayang terkejut daripada lamunan.Dayang segera mengatur langkah.Fikirannya masih cukup bercelaru.Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dipandangnya sepi.
Lima tahun lalu,Dayang meninggalkan Kuala Lumpur kerana hatinya terlalu disakiti.Kebahagiaan yang diharapkan tidak berpanjangan.Bagaikan layang-layang terputus tali.Begitulah hidupnya.Hidupnya terlalu dikecewakan dan dipersiakan oleh seorang insan yang bernama suami.
“Berilah abang peluang kali yang kedua.Abang berjanji tidak akan mempersiakan Dayang dan anak kita,Mimi.Tolonglah…Berikanlah abang peluang.Abang berjanji..abang akan berubah.Kembalilah ke Kuala Lumpur.Abang tunggu kepulangan Dayang,” .Panggilan bekas suami Dayang dua minggu lepas begitu membuatkannya rimas.Dia bagaikan tidak percaya Hisyam masih lagi menagih cintanya.Sudah hampir setahun ,Hisyam berusaha memburu kembali hati Dayang.Mengharap Dayang kembali ke pangkuannya.Kembali membina mahligai cinta yang pernah runtuh.
Lagu Hakika Cinta nyanyian Dayang Nurfaizah sayup berkumandang di bilik hotel.Bagaimanakah dia hendak berhadapan dengan Hisyam?.Lelaki itu pernah meninggalkannya demi mengejar cinta lain.Lelaki itu telah menghancurkan hidupnya.Teringat harapan Mak Leha.Terbayang wajah Mimi.Dayang sedar.Mimi perlukan kasih sayang seorang ayah.Segalanya membuatkan Dayang terhimpit.
Hisyam cuba memejamkan mata tapi gagal.Wajah Dayang menjelma.Sudah setahun dia cuba memujuk Dayang namun bagaikan mencurah air ke daun keladi.”Bagaimanakah lagi harus aku meminta maaf?.Aku tahu aku bersalah.Sedangkan nabi memaafkan umatnya.Aku pun seharusnya diberi peluang kali kedua.Dayang…kembalilah,”.Hisyam mundar mandir di kamarnya.Kelihatan cukup gelisah.
“Abang ceraikan Dayang dengan talak satu.,”
Dayang tergamam.Airmatanya jatuh bagaikan hujan.Sungguh tidak menyangka Hisyam akan bertindak sebegitu.Dayang kemudiannya menundukkan mukanya.Terus berlalu tanpa memandang Hisyam.Dia perlu akur dengan keputusan Hisyam.
HIsham masih gelisah.Fikirannya berkecamuk mengenangkan keputusan yang dilakukannya dulu.Seribu penyesalan terus menghantunya.Tergamak dia memperlakukan Dayang sebegitu.
Pagi itu ,Dayang berjalan seorang diri menyusuri jalan di Bukit Bintang .Kesibukan di kawasan itu sejak dulu tidak pernah sunyi.Dia kemudiannya singgah minum di Coffe Bean.Sambil menghirup kopi kegemarannya,matanya liar memerhati di sekeliling.Wajah Dayang sudah mula berbunga ceria.Sudah dua bulan dia memikirkan.Kini dia sudah nekad dengan keputusannya.Kepulangannya ke Kuala Lumpur demi memenuhi permintaan Hisyam.Hisyam mahu Dayang kembali menjadi suri dihatinya.Biarlah Dayang berkorban.Demi Mimi,dia akan cuba untuk melupakan dan memulakan kembali sebuah episod baru.
Dalam asyik memerhati kesibukan di Bukit Bintang,tiba-tiba mata Dayang terpandang ke arah Lot 10.Peristiwa lima tahun lepas terbayang kembali.Perasaaannya kembali sebak.Dayang memejamkan mata untuk melupakan peristiwa.Semakin mata dipejam,semakin kuat peristiwa itu terbayang.
“Kau dengar sini.Ernitta sememangnya kekasih aku.Kau tidak perlu ambil kisah.Aku sayang dan cinta Ernitta.Aku akan mengambil Ernitta sebagai isteri aku yang sah,”.Hisyam cukup marah.Ernitta memandang Dayang tanpa rasa bersalah.Sengaja dipeluknya erat pinggang Hisyam.Matanya menjeling Dayang.
“Tapi….. saya isteri abang,isteri abang yang sah..Abang curang….,”Dayang menangis seolah memohon simpati.Hisyam langsung tidak ambil peduli.
“Tolong….tolong… jangan ganggu suami aku,”rayu Dayang.Ernitta hanya tersenyum mendengar rayuan Dayang.Bibirnya mencebik.Seolah kata-kata Dayang tidak singgah ditelinganya.
“Dasar perempuan murahan…..,”Dayang melepaskan kemarahan.Wajah Hisyam merah menyala.Satu tamparan singgah di pipi Dayang.Dayang kaget.Sanggup Hisyam menamparnya demi Ernitta.Darah mengalir dibibir manisnya.HIsyam dan Ernitta terus berlalu pergi.Meninggalkan Dayang menangis seorang diri di hadapan Lot 10 .
Dayang kembali menghirup air kopi.Matanya masih memandang Lot 10.Hatinya kembali terluka.Wajah cerianya tadi bertukar warna.Ada titisan air di kelopak matanya.Luka lama terasa kembali .Seolah terasa pedih di bibirnya mengenangkan tamparan Hisyam.Masih Dayang ingat.Betapa malunya dia diperlakukan sebegitu di khalayak ramai.Ratusan manusia leka memandang.Namun tidak ada seorang sudi membantunya.
“Sanggup Hisyam menampar dan berkasar dengan aku.Sanggup Hisyam menduakan aku.Sanggup Hisyam menceraikan aku hanya kerana seorang perempuan murahan dan kaki cukur seperti Ernitta.Dimanakah maruah aku sebagai seorang wanita dan isterinya?,”terasa kembali kepedihan di jiwa Dayang.
Hisyam merebahkan kepala di sofa putih di ruang tamu rumahnya.Bibirnya tidak berhenti-henti mengukir senyuman.Matanya leka membaca SMS yang tertera di telefon bimbitnya.Berulangkali Hisyam membaca.Bagaikan tidak percaya.
“Abang…Dayang bersedia untuk kembali ke pangkuan abang.Esok kita jumpa.Kita bincang perkara ini.”Hisyam bagaikan tidak sabar menanti saat itu.
“Nita jangan risau.Abang akan ceraikan Dayang.Perempuan itu tidak penting dalam hidup abang.Bagi abang,Nita segalanya.Abang betul-betul sayangkan Nita.Selepas selesai kes perceraian,kita terus kahwin,”Ernita tersenyum manja.Senyuman yang mencairkan kejantanan Hisyam.
Itu dulu.Betapa kini hati Hisyam cukup kecewa.Ernita meninggalkan Hisyam setelah segala impiannya tercapai.Hisyam cukup menyesal.Segala milik Hisyam hancur kerana seorang gadis bernama Ernita.
“Arghhhhhhhhhhhh…perempuan sial.Perempuan mata duitan,”Hisyam mengerutkan dahinya.Hidupnya penuh sesalan.Wajah Dayang kembali singgah di fikirannya.Cukup lembut .Penuh kesabaran.
Hisyam terdiam.
“Esok,aku akan jumpa Dayang.Aku takkan persiakan peluang kedua yang Dayang berikan kali ini.Aku tak nak tengok Dayang bersedih lagi.Cukuplah dulu.Kali ini aku benar-benat nak tunjukkan sayangku terhadap Dayang.Aku rasa,semakin lama aku tak jumpa Dayang,semakin kuat rasa rindu itu datang.Baru aku sedar,Dayang wanita yang lembut hati.Dia memang seorang wanita yang sempurna.Mengapakah selama ini aku tidak sedar?.Terlalu jauh jika dibandingkan dengan Ernita.”.
Lampu kuning sayup menerangi kamar di banglo tiga tingkat itu.Kelihatan sepasang mata galak Amran memandang foto –foto Dayang yang berselerak di hadapannya.Sungguh,dia amat mengagumi dan menyayangi wanita itu.Wanita yang dikenalinya sejak lima tahun lalu cukup istimewa.Amran terus merenung foto Dayang.Cuba mencari satu pengertian pada sepasang mata janda beranak satu itu.Dia memang separuh nyawa mencintai Dayang.Pandangan Amran tiba-tiba terfokus pada sekeping kad merah hati di celah foto-foto itu.Hatinya bagaikan dihiris.
“Maafkan Dayang.Dayang terpaksa nekad membuat keputuasan ini.Demi mengikut kehendak ibu dan kebahagiaan Mimi,Dayang terpaksa kembali ke pangkuan Hisyam.Tiada niat untuk mempermainkan perasaan Abang Amran.Bukan hasrat Dayang untuk melukai atau memungkir janji.Dayang tetap sayangkan Abang Amran.Tetapi kita tidak mungkin dapat bersatu.”
Hati Amran cukup terluka.Dia menundukkan wajahnya.”Please…dayang…jangan! Janganlah…Janganlah tinggalkan aku dan janganlah kembali ke pangkuannnya,”jerit batin Amran.Amran tetap mengantung harap.Berharap Dayang akan berubah fikiran.Amran terus merenung jauh.Seolah teringat sesuatu .
Pantai Damai cukup indah.Ombak memutih memukul pantai.Di pergigian pantai kelihatan seorang wanita melangkah sayu menyusuri pantai.Amran leka memerhati.Gelagat perempuan itu cukup menarik perhatiannnya.Berbekalkan Ijazah Psikologi yang digenggamnya,dia yakin.Wanita itu menyimpan seribu masalah.
“Assalamualaikum….,”salam diberi sebaik sahaja menghampiri wanita yang sedang termenung jauh itu.
“Waalaikumusalam….,”Wanita itu lantas menjawab lemah sambil matanya terpingga memandang Amran yang cukup asing di matanya.Amran tersenyum.Wanita itu cuba membalas senyuman walaupun payah.Bunyi deruan ombak memecah kesunyian.Kedua-duanya terdiam melayan fikiran masing-masing.
“Kita tidak dapat melarikan diri daripada masalah.Kita perlu tempuh segala masalah itu dengan kekuatan.Dugaan datang dan menguji kita.Apa pun yang berlaku,hidup ini perlu kita teruskan selagi masih ada kesempatan.”tutur Amran lembut. Dayang lantas menoleh sekali lagi.Ada titisan air di kelopak matanya.
“Kita lepaskan segala kenangan yang menghantui hidup kita.Jangan kita terlalu sesalkan segala yang berlaku.Jangan kita terasa rugi meninggalkan sesorang.Biar orang yang kita tinggalkan… terasa akan kehilangan kita.Allah itu maha adil.Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.”ujar Amran seolah memahami kekecewaan di hati Dayang.
Sejak pertemuan itu,Amran mula mengenali Dayang.Janda muda yang menderita akibat ditinggalkan suami.Dayang membawa diri kembali ke kampung halamannya di Kuching demi nak melupakan segala kenangan pahit. Amran tahu.Dayang cukup tabah.Dayang begitu sabar.Kecekalan Dayang menambat hatinya.Hari silih berganti.Amran semakin mengenali Dayang.Kehadiran Amran bagaikan memberi hembusan asrama yang menyerikan kembali hidup Dayang.Kesungguhan Amran untuk membahagiakan Dayang membuatkan hidup Dayang kembali ceria.Senyuman Dayang menguntum rindu.Dunia kembali memberi erti hidup yang sejati.
Amran semakin gelisah di kamarnya.Lima tahun kenangan bersama Dayang cukup manis.Amran tidak pernah berjumpa wanita seistimewa Dayang.Harap Dayang akan berubah fikiran.Aku tidak sanggup kehilangannya…,”Amran terus menekan sesuatu di telefon bimbit.Kemudian merenung jauh.Terus melayan fikirannya.
Di kamar hotel,Dayang masih berguling-guling di tilam.Dia segera menguak selimut ke tepi dan bangun mendapatkan telefon bimbit di meja di sudut tepi tingkap.Dibacanya SMS yang tertera dengan penuh teliti.Dadanya tiba-tiba sebak.
“Jangan diundang kembali kesedihan yang lalu sebab telah ada yang mencintai dan merinduimu…..,”.Dayang tahu dan sentiasa tahu.Amran seolah tidak mahu melepaskannya.Dayang bersandar ke kerusi.Matanya memandang ke luar tingkap.Dia tidak mahu Amran tahu dia berada dalam persimpangan dengan keputusan yang dibuatnya.Dia tidak mahu Amran menaruh harapan lagi.Dia juga tidak mahu Amran tahu yang dia sedang menangis kembali apabila meratap kenangan lama.Semestinya dia tidak mahu Amran tahu yang dia juga berperasaan sama.Sama mencintai dan sama merindu.
Terbayang di mata Dayang wajah Amran.Menatap wajah jejaka kacukan Belanda dan Melayu itu membuatkan hatinya yang layu berbunga kembali.Dulu,hidupnya terumbang ambing.Bagaikan perahu hanyut di lautan.Umpama layang-layang yang terputus tali.Amran banyak membantu menyemarakkan kembali seri kasih dihatinya.Pertemuan di Pantai Damai memulakan episod baru dalam hidupnya.Terlalu pantas masa berlari.Kini dia terpaksa meninggalkan Amran.Esok dia akan kembali menyatukan jodohnya dengan Hisyam.
Kereta Mercedes Benz hitam dipandu Hisyam perlahan.Setiap selekoh diambil berhati-hati.Akhirnya Hisyam sampai ke destinasi.Hampir pukul empat petang.Tepat seperti yang dijanjikan.Mungkin Dayang sudah menunggu?.Hati Hisyam berdebar-debar.
Hisyam segera menghayun langkah menuju ke Restoran Bintang Warisan.Sampai di hadapan pintu restoran,matanya liar memerhati mencari seseorang.Dilihatnya seraut wajah yang cukup dikenalinya.
“Assalamualaikum…..,”Hisyam menarik kerusi lalu duduk berhadapan dengan wanita yang pernah bergelar permaisuri di hatinya.
“Waalaikumusalam…,”balas Dayang lembut.Ada senyuman cukup manis dibibirnya.Bagaikan tiada dendam dan benci terhadap lelaki yang pernah menyakiti hatinya dulu.
“Abang mengaku kesilapan dulu.Tapi…pengalaman lalu cukup menyedarkan abang.Aku di hadapanmu kali ini,bukanlah Hisyam yang dulu.Abang datang kembali untuk melamarmu.Terimalah abang kembali.Seikhlasnya abang mengambil Dayang kembali sebagai isteri,”Hisyam merayu dengan penuh simpati.Dia yakin,berdasarkan SMS yang Dayang hantar semalam,Dayang sudah melupakan segalanya.
Dayang tidak berkata apa-apa.Dia merenung lelaki yang bergelar bapa kepada anaknya,Mimi.Airmatanya berderai.Hibanya tak terlerai.Dulu lelaki itu terlalu disayanginya.Pernah rasa sayang terhadap lelaki itu dulu terlalu membuak-buak sehingga sanggup meninggalkan keluarganya di Kuching demi mengikut jejaka itu ke Kuala Lumpur.Kini dia cukup terharu dengan janji-janji dan hasrat jejaka itu.Dia cukup simpati.Cuma mengapa apabila berada di sisi Hisyam?.Segala perasaan yang pernah dirasainya dulu sudah tidak ada lagi.Mungkin seri kasihnya terhadap lelaki itu sudah pudar setelah berhadapan dengan segala penderitaan.
“Abang….Dayang teramat menghargai janji-janji abang.Abang pernah Dayang sayang dan cinta.Walau hati Dayang disakiti,Dayang tidak pernah membenci.Dayang tetap setia pada abang.Dan…setelah abang tinggalkan Dayang,Dayang berusaha untuk melawan segala kesunyian dan kepayahan.Dayang tabah demi anak kita,Mimi.Hidup Dayang bagaikan hilang arah tuju sehingga Dayang hampir hilang pegangan diri,”
“Maafkan..abang.Kembalilah pada abang”
“Kembali?.Dayang sudah nekad untuk kembali pada abang,”
“Terima kasih,Dayang.Abang tidak akan mempersiakan peluang kedua ini,”
“Tapi…...Kepulangan Dayang kali ini,bukan untuk menyambung kembali kisah lama. Cuma pulang sebagai seorang kawan.Biarlah hubungan kita tetap utuh sebagai sahabat,”Hisyam terpingga.Wajah manis Dayang diamatinya tajam.
“Bukan Dayang tidak mencuba.Malah beberapa kali Dayang mencuba menyayangi abang kembali.Tapi semakin Dayang mencuba,semakin banyak kenangan lama di sini datang menganggu.Sehingga Dayang terfikir,”Apalah gunanya kita bangkitkan kembali kenangan lama andai rasa itu sudah tiada.Lebih baik kita simpan segalanya sebagai sejarah.Kita sandarkan pada kenangan.Biarlah cuma kenangan mengikat hubungan kita,”Hisyam serba salah.Tangannya memegang kedua-dua bahu dayang dengan erat.
Dayang bangun.Hisyam turut bangun.Kali ini tangan Hisyam memegang erat tangan Dayang.Mereka berdua berdiri berhadapan.Mata saling bertentangan.Mulut terkunci sejuta bahasa.Air mata pengganti kata-kata.Mereka sama-sama hiba.
Dayang cuba mengambil langkah pertama.Hisyam sempat memegang tangannya..”Fikirlah baik-baik ,sayang .Abang tidak berniat mendesak.Apatah lagi membuat Dayang bersalah.Abang yakin Dayang perlukan masa lagi untuk kembali berfikir.Demi anak kita.abang tetap menunggu”.
Dayang kehilangan kata-kata.Hiba menyesak ke dada.Dayang terus menghayun langkah tanpa menoleh Hisyam.Hisyam terpingga-pingga ditinggalkan Dayang.Dayang terus laju melangkah.Hisyam terus memandang sehingga Dayang hilang daripada pandangan.
“Abang Hisyam….Maafkan Dayang.Seri kasih dan sayang di hati Dayang tetap ada tapi…..bukan buat abang lagi.Hidup ini perlu Dayang teruskan ,”hati Dayang berbisik.
Dayang terus melangkah.Ada senyum dihatinya.Ada cinta membara di jiwanya.Rindu itu semakin menyala.Obor asmara semakin hangat terasa.Dayang tersenyum kecil.Wajah Amran berlegar difikirannya.Segalanya kini dimiliki pemilik wajah itu.Dayang segera menekan sesuatu di telefon bimbitnya.Kali ini Dayang terlalu pasti.Inilah pilihan sejatii.Destinasi cintanya yang abadi.
“Aku akan pulang.Tunggu aku bersama harapanmu…”
Karya: Mohd Zamri Juli,Petra Jaya,Kuching.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment