Thursday, January 13, 2011

DUGAAN DAN CABARAN MENGUJI...

DUGAAN DAN CABARAN MENGUJI..KALAU KITA SABAR..PASTI....
KU TEMU CAHAYA


Bila Ditimpa Musibah, Termasuk Golongan Manakah Kita?
Apabila kita ditimpa musibah, kita akan termasuk ke dalam salah satu daripada empat golongan iaitu:
1. Orang yang berkeluh-kesah
2. Orang yang sabar
3. Orang yang redha
4. Orang yang bersyukur


ORANG YANG KELUH-KESAH
Golongan yang berkeluh-kesah adalah golongan yang paling buruk, paling dibenci Allah serta paling besar kerugiannya di dunia dan akhirat. Mereka adalah orang yang tidak rela dan kecewa terhadap takdir (ketentuan) dan qadha’ (ketetapan) Allah. Mereka akan sentiasa mengeluh dan mengesali musibah yang berlaku.
Rasulullah bersabda (maksudnya), “Bukan termasuk (golongan) kami orang yang memukul-mukul pipi, menyobek-nyobek baju dan berdoa dengan doa (kaum) jahiliyah.” (Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi)

Terdapat juga yang meratap (nihayah) dan berteriak secara melampau yang mana ia boleh mendatangkan laknat. Satu riwayat yang baik dalam Shahihut Targhib wat Tarhib, disebutkan Rasulullah bersabda (maksudnya), “Ada dua suara yang dilaknat - suara seruling ketika mendapat kenikmatan dan suara teriakan ketika mendapat musibah.”

ORANG YANG SABAR
Orang2 yang sabar dengan musibah akan meraih darjah mulia dan dicukupkan pahalanya tanpa batas. Allah berfirman dalam suroh Az-Zumar ayat 10, maksudnya, “Sesungguhnya, hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.”

Orang2 yang sabar akan menjaga beberapa bentuk kesabaran iaitu kesabaran dengan berani terhadap pelbagai kesukaran dalam jihad, kesabaran dengan menjaga kesucian diri daripada nafsu, kesabaran dengan berlemah-lembut atas pembangkit amarah dan kesabaran dengan menjaga rahsia daripada menyebarkannya. Mereka yang sabar akan bertindak atas keyakinan bahawa apa yang berlaku adalah telah ditetapkan pasti terjadi dan tidak dapat dielak.

ORANG YANG REDHA
Orang2 yang redha pula merupakan pemilik darjat yang lebih tinggi daripada mereka yang sabar. Di samping bersabar, mereka akan rela dan redha dengan ketentuan Allah. Mereka akan merasa senang dengannya dan tidak menunjukkan reaksi marah yang menunjukkan dirinya tidak redha.

Perasaan senangnya terhadap musibah adalah sama saja seperti mendapat nikmat kerana baginya, kedua-duanya adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah terhadapnya. Nabi bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya ujian. Sungguh, jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka. Maka, siapa yang redha (terhadap ujian tersebut), baginya redha (Allah), namun siapa yang marah (terhadap ujian tersebut), baginya murka (Allah).” (Hadith Riwayat Abu Daud)

ORANG YANG BERSYUKUR
Terakhir, orang2 yang bersyukur adalah orang yang paling agung di antara golongan sebelumnya kerana mereka menghimpun sabar, redha dan bersyukur dengan turunnya ujian kepada dirinya. Mereka yang bersyukur kerana diuji akan mampu tersenyum.

Mereka akan menginsafi apa yang berlaku adalah tanda cinta Allah kepadanya. Mereka akan menyambut cinta daripada Tuhannya dengan tenang dan gembira. Mereka akan memperkemaskan kembali rasa cinta mereka kepada Allah dengan memperbaiki amalannya, berpegang teguh pada sunnah Nabi Muhammad serta bersedia berkorban demi Tuhannya yang tercinta.

Namun sangat sedikit sekali mereka yang bersyukur sebagaimana diberitahu Allah dalam surah Saba’, ayat 13 yang maksudnya, “Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.”

Oleh itu, tanamkanlah rasa syukur kepada Allah bukan sahaja apabila menerima nikmat, bahkan apabila menerima musibah. Buahkan rasa syukur dengan mengingat Allah (zikrulloh). Sesungguhnya Allah akan mengingat kita apabila kita mengingati-Nya. Allah berfirman dalam ayat 152, surah Al-Baqarah maksudnya,

“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku.”

No comments:

Post a Comment